Dalam usaha memperkukuh kefahaman komuniti terhadap pengurusan strata yang berkesan, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melalui Jabatan Pesuruhjaya Bangunan (COB) telah menganjurkan Program Kepentingan Bayaran Caj bagi Kediaman Strata serta Peranan JMB/MC bertempat di TDBC LC Management Corporation, Taman Desa, Batu Caves.
Taklimat telah disampaikan oleh Puan Nor Shafaliza binti Saharudin, Pengarah COB; Sr Yusaini bin Amaudin@Amirudin, Ketua Bahagian; serta wakil penduduk, Puan Zamanila binti Tukimin. Program ini memberi penjelasan tentang peranan bayaran caj dalam memastikan penyelenggaraan fasiliti berjalan lancar, termasuk kemudahan lif, pam air, pencahayaan kawasan awam, keselamatan, kawalan akses, kebersihan dan landskap, serta keperluan pembaikan jangka panjang.
MPS turut menekankan tanggungjawab penduduk dalam membayar caj tepat pada masanya, menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan (AGM), mematuhi peraturan komuniti serta menjaga kebersihan dan aset bersama demi kelestarian pengurusan strata.
Diharapkan program ini dapat meningkatkan pemahaman dan kerjasama antara semua pihak dalam memastikan komuniti strata di bawah pentadbiran MPS terus terurus dengan baik.