603-6126 5800 [email protected]

Laman Web Rasmi

Majlis Perbandaran Selayang

PERUTUSAN YANG DIPERTUA

 

YDP MPS

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera,

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya, kita diberi kesempatan untuk melangkah ke tahun baharu 2026 dengan semangat, iltizam dan harapan yang diperbaharui.

Tahun 2026 hadir sebagai satu lembaran baharu yang menuntut kesediaan kita untuk terus bergerak ke hadapan. Dalam menghadapi landskap perbandaran yang semakin dinamik dan mencabar, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) akan terus komited memperkukuh tadbir urus yang berintegriti, mempertingkat kecekapan penyampaian perkhidmatan serta memastikan pembangunan bandar dilaksanakan secara seimbang, inklusif dan mampan.

Fokus MPS pada tahun ini akan terus menjurus kepada pemerkasaan pendigitalan perkhidmatan, pembangunan bandar berteraskan kesejahteraan rakyat, pemeliharaan alam sekitar serta pengukuhan peranan komuniti sebagai rakan strategik dalam pembangunan kawasan Selayang. Usaha ini hanya dapat direalisasikan melalui kerjasama erat antara pihak MPS, pemegang taruh dan masyarakat setempat.

Saya percaya bahawa kejayaan sesebuah organisasi bukan sekadar ditentukan oleh perancangan yang rapi, tetapi digerakkan oleh budaya kerja berpasukan, profesionalisme dan kesediaan untuk beradaptasi dengan perubahan. Sehubungan itu, saya menyeru kepada semua warga MPS agar terus memupuk semangat kebersamaan, berfikiran inovatif dan menjunjung tinggi nilai amanah serta integriti dalam setiap tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.

Kepada seluruh warga Selayang, marilah kita bersama-sama memainkan peranan sebagai warga perbandaran yang bertanggungjawab, prihatin dan bersatu padu dalam menyokong aspirasi menjadikan Selayang sebuah bandar yang bersih, selamat, berdaya huni dan sejahtera untuk semua.

Akhir kata, semoga tahun 2026 membawa kemajuan berterusan, kesejahteraan bersama dan kejayaan yang mampan kepada MPS serta seluruh warga Selayang.

Sekian, terima kasih.